Anak Yang Sedang Membesar – Bagaimanakah Setiap Peringkat Perkembangan Memainkan Peranan yang Penting

  • Setiap kanak-kanak akan membesar mengikut rentak tersendri, tetapi terdapat beberapa peringkat perkembangan tertentu yang perlu dicapai untuk memastikan pertumbuhan yang sihat
  • Ibubapa harus menumpukan perhatian terhadap kelakuan, tindakan dan tabiat anak-anak mereka supaya mereka boleh mengesan awal sebarang perkembangan yang luarbiasa  

Kuala Lumpur, 25 Februari – Beberapa bulan pertama dalam kehidupan seorang anak kecil adalah amat penting memandangkan ia berada dalam tahun-tahun pertumbuhan awal mereka. Sementara tidak ada dua kanak-kanak yang serupa dan akan berkembang mengikut rentak mereka tersendiri, terdapat beberapa peringkat perkembangan penting utama yang ibubapa harus ambil perhatian demi untuk membesarkan seorang kanak-kanak yang gembira dan sihat. 

Didefinisikan sebagai satu proses yang progresif dan teratur dalam mendapatkan kemahiran dan kebolehan semasa seorang kanak-kanak sedang membesar, namun perkembangan seseorang kanak-kanak itu banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor genetik, neurologi, fizikal, persekitaran dan emosi. 

Dr Hasmawati Hassan, Pakar Perunding Neonatologis dari Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) menjelaskan bahawa terdapat empat aspek yang merupakan peringkat perkembangan penting untuk kanak-kanak, iaitu Motor Kasar, Motor Halus dan Visi, Kelakuan dan Pembangunan Sosial, Pertuturan dan Pendengaran. Untuk setiap aspek ini, terdapat beberapa matlamat tertentu yang perlu dicapai oleh seseorang kanak-kanak itu – tetapi ia adalah penting untuk ingat bahawa kadar perkembangan adalah berbeza dari seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. 

“Tahun-tahun awal kehidupan adalah amat penting untuk perkembangan seorang kanak-kanak. Pengalaman awal membawakan satu perbezaan yang ketara dalam menentukan bagaimana sel-sel otak kanak-kanak kecil berkembang kerana ini boleh mempengaruhi  pembelajaran sepanjang hayat dan kesihatan mereka. Maka, adalah penting sekali untuk menghabiskan masa bersama kanak-kanak kecil dan memerhatikan bagaimana mereka membesar. Pemantauan perkembangan bermakna membuat pemerhatian dan mengambil notis terhadap cara-cara spesifik bagaimana seseorang kanak-kanak itu bermain, belajar, bercakap, bertindak, dan bergerak setiap hari, secara berterusan,” beliau menjelaskan. 

Dr Melanie Majaham, Pakar Perunding Paediatrik dari SMCV turut bersetuju, dan menekankan kepentingan melawat pakar paediatrik secara berkala bergantung kepada umur bayi atau jika mereka menghadapi sebarang masalah perubatan utama. 

“Semasa setiap lawatan, bayi akan dipantau untuk perkembangannya dan untuk mengesan sebarang isu berkaitan seperti kadar peningkatan berat badan yang lemah atau masalah kegemukan. Doktor-doktor juga turut akan membincangkan butiran seperti frekuensi penyusuan, pelan penyusuan dan penanda jarak utama yang perlu dicapai bersama dengan ibubapa. Temujanji yang tipikal biasanya akan dipautkan dengan jadual pemvaksinan, tetapi lawatan akan menjadi lebih kerap jika ia melibatkan sebarang masalah perubatan atau lain-lain ujian yang perlu dilakukan seperti ujian darah atau air kencing,” beliau berkata.

Memastikan anak anda sentiasa terlibat sama 

Dr Hasmawati menambah bahawa terdapat banyak aktiviti mempromosi perkembangan yang berlainan yang ibubapa boleh jalankan bersama dengan anak-anak mereka agar mereka kekal terangsang dan dipenuhi dengan perasaan ingin tahu sekaligus belajar menerokai dunia sekeliling mereka. 

“Sebagai contoh, ibubapa boleh mencuba untuk menyanyi dan bercakap kepada anak mereka menggunakan tona suara yang sengaja diperbesar-besarkan dan memerhatikan ekspresi wajah bayi mereka untuk melihat bagaimana mereka bertindakbalas terhadap pic-pic yang berlainan – ini akan membantu dalam pembangunan bahasa mereka. Untuk perkembangan dari segi visual, sosial dan emosi, mereka boleh cuba menunjukkan refleksi bayi mereka dalam cermin yang selamat digunakan untuk bayi dan bertanya bayi mereka, ‘siapa itu?’ dan mengulangi perlakuan itu dengan diri mereka sendiri atau dengan sesuatu yang mudah dikenali seperti alat mainan haiwan atau adik-beradiknya yang lain,” beliau berkata. 

Walaupun setiap kanak-kanak akan memaparkan pelbagai peringkat perkembangan pada usia yang berlainan, Dr Hasmawati mengambil notis bahawa terdapat beberapa tanda amaran awal yang ibubapa perlu awasi dan sedari:

Motor Kasar

Matlamat utama adalah memastikan agar kanak-kanak itu mampu berjalan, yang bermula dengan kawalan kepala. Pada usia enam bulan mereka harus mampu untuk duduk tanpa sokongan buat sementara waktu, menarik sesuatu untuk berdiri pada usia 9-10 bulan dan mampu untuk berjalan dari usia 12-14 bulan.

Tanda-tanda amaran awal: Kanak-kanak gagal untuk mencapai kawalan kepala/memusing kepala pada usia 4-6 minggu, gagal untuk bergolek menjelang usia 5 bulan, gagal untuk duduk menjelang usia 8 bulan, gagal untuk berdiri dengan sokongan menjelang usia 10 bulan, atau gagal untuk berjalan menjelang usia 15 bulan.

Motor Halus

Pembangunan memegang menggunakan dua jari adalah matlamatnya. Tangan seorang bayi baru lahir akan kekal tergenggam sehingga bulan ketiga, dan mereka harus mencapai kemajuan secara berterusan dengan beralih kepada genggaman dua jari pada usia 9-12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal: Genggaman erat tangan selepas 3 bulan, abduksi dan fleksi ibu jari yang berterusan selepas 3 bulan, tidak cuba untuk mencapai objek selepas 5 bulan, sebaran jari yang berterusan semasa percubaan untuk mengambil objek selepas 5 bulan, genggaman tapak tangan yang berterusan selepas 9 bulan dan kegagalan untuk memegang menggunakan dua jari dengan baik selepas 1 tahun.

Kelakuan dan Pembangunan Sosial 

Ini adalah untuk menilai kebolehan bayi itu untuk berinteraksi dan bertindak balas kepada dunia sekitar mereka. Ini boleh merangkumi dari memaparkan kegelisahan mereka terhadap orang yang tidak dikenali pada usia tujuh bulan, sehinggalah mampu meminum dari cawan pada usia 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal: Pada usia 6-9 bulan – amat senyap, tidak tersenyum atau ketawa, tidak merespons kepada nama mereka, tidak ada kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali. Pada usia 9-12 bulan – masih mempunyai kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali, tidak faham untuk melambai selamat tinggal. 

Pertuturan dan Pendengaran

Matlamat utama adalah untuk memastikan agar kanak-kanak itu boleh bercakap, bermula dengan bisikan lembut, merespons kepada bunyi dan kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata mudah secara lisan seperti ‘mama’ atau ‘dada’.  Perbendaharaan kata kanak-kanak itu harus berkembang maju semasa mereka menjadi lebih tua.

Tanda-tanda amaran awal: Tidak ada senyuman pada usia 3 bulan, tidak ada percubaan untuk ketawa pada usia 6 bulan, tidak mengoceh dan tidak merespons kepada nama mereka pada usia 6-9 bulan atau masih mengoceh/senyap pada usia 9-12 bulan.

Sekiranya ibubapa mengambil notis terhadap sebarang tanda kemungkinan kewujudan kelambatan dalam perkembangan pada tahap usia mereka, mereka harus mendapatkan bantuan dan khidmat perundingan dari pakar paediatrik atau neonatologis mereka dan membincangkan bersama berkenaan perkembangan anak mereka. 

Mencari penyelesaian dan bantuan terbaik untuk anak anda

Melalui berbagai kemajuan yang dicapai dalam teknologi, kini terdapat berbagai jenis saringan, ujian dan rawatan yang boleh membantu kanak-kanak khususnya, dan ibubapa mereka agar mereka mampu memberikan orang tersayang mereka satu masa hadapan yang lebih baik. Dr Melanie menjelaskan lagi bahawa ujian-ujian ini termasuk Ujian Saringan Pembangunan Denver, yang digunakan sebagai satu rujukan untuk memantau peringkat  perkembangan itu, dan juga skor M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers atau Senarai Pemeriksaan Diubahsuai untuk Autisma dalam Anak-anak Kecil) untuk mengesan tanda-tanda awal Gangguan Spektrum Autisma, yang biasanya diberikan antara usia 16-30 bulan. 

“Sebarang kebimbangan perlu ditangani dan dibincangkan dengan ibubapa kanak-kanak itu. Kadangkala, kanak-kanak itu mungkin perlu diberi penilaian lanjut oleh sepasukan pakar pelbagai disiplin yang termasuk seorang pakar psikologi kanak-kanak, pakar paediatrik pembangunan, pakar terapi pekerjaan, pakar terapi fisio, dan pakar terapi pemakanan dan pertuturan supaya kanak-kanak itu boleh mendapat manfaat dari satu Program Intervensi Awal untuk membolehkan kanak-kanak itu mencapai potensi penuh beliau,” Dr Melanie menambah. 

Sunway Medical Centre Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau emel [email protected]. Untuk maklumat lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari https://www.sunmedvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Velocity).

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Editorial Team
Editorial Team
We take our responsibilities seriously as a provider of free parenting resources. Our published articles are therefore written based on evidence-based information parents can rely on. Parenthood is hard. But it’s also the most rewarding. Our first goal is thus to make sure our content is concise, accurate and accessible.