Muzik sesungguhnya bersifat universal
Muzik adalah bersifat universal. Satu kajian dari Universiti Harvard mendedahkan bahawa muzik sebenarnya mempunyai satu set kod dan corak unik yang boleh difahami oleh semua orang. Kajian ini meneliti data-data etnografi dan muzik yang didengar oleh setiap masyarakat dan muzik-muzik terpilih dan mendapati bahawa lagu-lagu sebenarnya membawa bentuk dan fungsi yang sama yang merentasi budaya.
Kajian tersebut, yang berjudul Universality and diversity in human song, menyimpulkan bahawa “Muzik sebenarnya adalah bersifat sejagat: Ia wujud dalam setiap masyarakat (samada berlirik atau tanpa kata-kata), bervariasi lebih di dalam daripada antara masyarakat, kerap menyokong beberapa jenis tingkah laku, dan mempunyai ciri-ciri akustik yang secara sistematik berkait rapat dengan matlamat dan tanggapan penyanyi dan pendengar.”
Jika anda masih lagi ragu-ragu sama ada ingin menghantar anak anda ke kelas muzik, artikel ini mungkin sesuai untuk anda.
Apabila anda mendengar muzik, pelbagai saraf otak anda terlibat dan menjadi aktif. Tetapi, apabila anda bermain alat muzik, otak anda seolah-oleh sedang menjalani senaman penuh – Anita Collins, pendidik yang telah memenangi anugerah, pengkaji dan penulis dalam bidang pembangunan otak dan pembelajaran muzik
Apa pendapat kajian-kajian tentang pendidikan awal muzik
Meningkatkan pemikiran spatial-temporal kanak-kanak, kemahiran deduksi numerik, dan kesedaran fonemik
Satu kajian yang telah diterbitkan pada tahun 2011 mendapati bahawa pendidikan muzik berupaya meningkatkan pemikiran spatial-temporal kanak-kanak, kemahiran deduksi numerik, dan kesedaran fonemik. Kajian longitud ini menggunakan pelajar-pelajar prasekolah yang datang dari keluarga yang berpendapatan sederhana sebagai subjek kajian mereka dan mendapati bahawa kanak-kanak yang menerima pendidikan muzik sebelum usia 7 tahun menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam menyelesaikan tugasan yang berorientasikan spatial-temporal dan deduksi numerik.
Kanak-kanak yang berada dalam kumpulan muzik mempamerkan peningkatan yang lebih besar dalam darjah kecerdasan otak
Satu kajian oleh E. Glenn Schellenberg di University of Toronto di Mississauga, mendedahkan bahawa terdapat peningkatan kecil darjah kecerdasan otak bagi kanak-kanak yang berusia enam tahun yang telah menjalani latihan piano mingguan. Untuk menguji hipotesisnya, Schellenberg telah menyediakan kurikulum pengajaran piano dan vokal yang diajar selama 9 bulan kepada kanak-kanak yang berusia 6 tahun, kurikulum teater untuk kumpulan kanak-kanak yang kedua, dan tiada sebarang kurikulum muzik untuk kumpulan kanak-kanak yang ketiga. Kanak-kanak yang telah menerima pendidikan muzik dilihat mempunyai tiga mata darjah kecerdasan otak lebih tinggi daripada kumpulan lain.
Hubungan antara program muzik dan pencapaian akademik
Kajian ini pula oleh Christopher Johnson, seorang profesor pendidikan muzik dan muzik terapi di University of Kansas, mendedahkan bahawa pelajar di sekolah yang mempunyai program pendidikan muzik yang bagus dilihat mempunyai keputusan peperiksaan yang lebih cemerlang dalam subjek bahasa inggeris dan matematik berbanding pelajar di sekolah yang mempunyai program muzik tidak berapa baik. Pelajar yang menyertai program muzik yang berkualiti rendah pula mempunyai keputusan akademik yang lebih elok daripada mereka yang tidak menyertai sebarang program muzik sama sekali.
Pendidikan muzik membantu meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk belajar
“Senarai kemahiran dan kebolehan yang boleh didapati melalui pendidikan muzik adalah sangat banyak, manfaat ini boleh disusun di bawah tiga kriteria utama: pembangunan bahasa, kemahiran eksekutif dan pembangunan kemahiran sosial,” kata Anita Collins, pendidik, penyelidik dan penulis dalam bidang pembangunan otak dan pembelajaran muzik. Boleh tonton video beliau di TED Talks.
Bermain dan membuat muzik melibatkan pelbagai saraf-saraf otak
Scholastic telah memetik ulasan Dr Susan Barry, seorang pakar neurobiologi di Mt. Holyoke, “Bermain muzik mengaktifkan saraf-saraf otak. Apabila kanak-kanak mengambil bahagian dalam aktiviti berasaskan muzik, otot, deria, dan intelek mereka terlibat secara serentak; mereka melakukan latihan gerak otak mereka dengan cara yang jarang dilakukan. Latihan muzik berupaya mengurus dan menyusun semula otak.”
Faedah belajar alat muzik sebagai seorang kanak-kanak
Apabila kanak-kanak terdedah kepada muzik dari usia awal, kesannya agak mendalam. Pendidikan muzik boleh membantu kanak-kanak dari aspek-aspek berikut, antara lain;
Fungsi Eksekutif
“Memandangkan fungsi eksekutif adalah penggerak tunjang kepada pencapaian akademik yang cemerlang, lebih daripada darjah kecerdasan otak, kami berpendapat penemuan ini menunjukkan pendidikan muzik membawa manfaat pendidikan yang jelas,” jelas pengkaji Nadine Gaab, pemegang ijazah PhD dari Laboratories of Cognitive Neuroscience di Boston Children’s. “Walaupun banyak sekolah-sekolah bertindak untuk membuang program muzik dan menghabiskan lebih banyak masa dalam aktiviti-aktiviti penyediaan untuk peperiksaan, penemuan kami mencadangkan bahawa latihan muzik sebenarnya boleh membantu mencorakkan masa depan akademik yang lebih cemerlang.”
Daya ingatan
Blake Madden, dalam bukunya, Why Music Education Actually Matters, berkata, “Kanak-kanak yang belajar muzik menunjukkan perkembangan otak yang berbeza serta daya ingatan yang lebih baik selama setahun dari kanak-kanak yang tidak menerima sebarang latihan muzik. Sangat menarik apabila melihat prestasi yang melibatkan daya ingatan, kemahiran umum, kemahiran literasi, lisan, matematik serta darjah kecerdasan otak kanak-kanak yang belajar muzik yang bertambah baik dari kanak-kanak tidak pernah menerima sebarang pendidikan muzik.”
Pembangunan Sosial-Emosi
Kajian ini menyelidik kesan dari pembelajaran piano selama tiga tahun ke atas harga diri kanak-kanak. Dalam kajian itu, kanak-kanak telah dibahagikan kepada dua kumpulan: kumpulan pertama belajar piano setiap minggu selama tiga tahun, dan kumppulan kedua tidak menerima sebarang pendidikan muzik piano. Kedua-dua kumpulan mempunyai tahap harga diri yang sama pada permulaan kajian. Penyelidik mendapati bahawa kanak-kanak yang telah belajar piano selama 3 tahun menunjukkan peningkatan signifikan dalam aspek harga diri dari kanak-kanak yang tidak menerima sebarang pengajaran piano.
Pembangunan Bahasa
Portal Science X telah menerbitkan sebuah artikel yang menyokong usaha pendidikan muzik awal. Artikel yang telah ditulis oleh Anita Collins dan Misty Adoniou ini, mengatakan bahawa “Neurosains telah mengesan hubungan yang jelas antara pendidikan muzik dan pengajaran bahasa. Secara ringkas, pendidikan muzik pada tahun-tahun awal persekolahan dapat membantu kanak-kanak belajar membaca.” Kajian ini pula, telah mendedahkan bahawa kanak-kanak yang telah menerima latihan muzik dilihat mempunyai daya ingatan bunyi, perhatian dan pendengaran yang lebih baik.
Kesimpulan
Pentingnya pendidikan muzik awal jauh melangkaui pencapaian akademik semata-mata. Kajian-kajian terus mempamerkan manfaat-manfaat pendidikan muzik awal. Jika anda salah seorang daripada ibu bapa yang tahu bermain alat muzik, anda pasti boleh memahami mengapa pendidikan muzik awal atau sebaliknya, adalah penting. Seperti kata José Antonio Abreu, pengasas sebuah sistem orkestra belia yang telah mengubah beribu-ribu kehidupan kanak-kanak di Venezuela melalui pendidikan muzik;
… Perkara yang paling menyedihkan tentang kemiskinan bukanlah kekurangan roti atau atap yang melindungi kepala, tetapi jasad tanpa jiwa dan identiti – berasa seolah-olah diri itu bukan sesiapa, belum cukup identifikasi, tiada harga diri. Sebab itu di sini pendidikan muzik berupaya memberi ruang dan peluang untuk kanak-kanak ini mencari keunikan identiti mereka, dan mereka menjadi contoh teladan kepada keluarga dan komuniti mereka. Pendidikan muzik menjadikan seseorang itu seorang pelajar yang lebih baik di sekolah, sebab muzik telah mengajar mereka untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab, tekun dan tahu menghormati masa.
Rujukan
Mehr, S. A., Singh, M., Knox, D., Ketter, D. M., Pickens-Jones, D., Atwood, S., … & Howard, R. M. (2019). Universality and diversity in human song. Science, 366(6468).
Rauscher, F. H., & Hinton, S. C. (2011). Music instruction and its diverse extra-musical benefits. Music Perception: An Interdisciplinary Journal, 29(2), 215-226.
Schellenberg, E. G. (2004). Music lessons enhance IQ. Psychological science, 15(8), 511-514.
Johnson, C. M., & Memmott, J. E. (2006). Examination of relationships between participation in school music programs of differing quality and standardized test results. Journal of Research in Music Education, 54(4), 293-307.
Collins, A. (n.d.). The benefits of music education. Retrieved March 24, 2020, from https://www.ted.com/talks/anita_collins_the_benefits_of_music_education?language=en
Why Music Matters in the Early Childhood Classroom. (2016, December 05). Retrieved March 24, 2020, from https://www.scholastic.com/teachers/blog-posts/elaine-winter/2017/Why-Music-Matters-in-the-Early-Childhood-Classroom/
Boston Children’s Hospital. (2014, June 17). Brain imaging shows enhanced executive brain function in people with musical training. ScienceDaily. Retrieved March 23, 2020 from www.sciencedaily.com/releases/2014/06/140617211020.htm
Costa-Giomi, E. (2004). Effects of Three Years of Piano Instruction on Children’s Academic Achievement, School Performance and Self-Esteem. Psychology of Music, 32(2), 139–152. https://doi.org/10.1177/0305735604041491
Collins, A. (2018, November 08). Learning music early can make your child a better reader. Retrieved March 24, 2020, from https://phys.org/news/2018-11-music-early-child-reader.html
Strait, D. L., Parbery-Clark, A., Hittner, E., & Kraus, N. (2012). Musical training during early childhood enhances the neural encoding of speech in noise. Brain and language, 123(3), 191-201.