Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui laman Facebook telah mengumumkan bahawa pengguna kini boleh muat turun aplikasi MyTrace.
Aplikasi yang telah dibangunkan oleh MOSTI dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi tempatan ini adalah sebuah aplikasi mudah alih pengesanan kontak (contact tracing). Aplikasi ini telah dibangunkan untuk membantu KKM mengesan individu yang mempunyai kontak dengan mereka yang telah dijangkiti COVID-19.

Aplikasi MyTrace menggunakan teknologi `Bluetooth’ di mana ia membolehkan telefon bimbit pengguna mengesan kehadiran pengguna lain apabila berada hampir dengan mereka yang telah dijangkiti COVID-19. Sekiranya pengguna disahkan positif COVID-19, pihak berwajib akan menghubungi kontak-kontak rapat yang dikesan melalui Log Pengesanan Hubungan MyTrace.

MyTrace mengumpul maklumat nombor telefon yang telah dirahsiakan (anonymized) dan TIDAK mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna. Bagi pengguna telefon bimbit jenis Android anda boleh muat turun aplikasi MyTrace di Google PlayStore. Aplikasi MyTrace bagi pengguna IOS pula akan tersedia di App Store dalam tempoh terdekat.